UTAMAPENGASASGALERISTUDIOARKIBHUBUNGI

     
 

 
     
 

 

 

 

 

 

 

 

 

05 Mei 2010, hari Rabu, kami minum di Restoran Uncle Joe, di bawah studio Whyfit yang juga merupakan gelanggang latihan Jurus Senjata Lapan (JS8). Cikgu Yazid baru sahaja sampai dari Australia pada sebelah paginya. Malam itu sepatutnya ada latihan tapi atas makluman dan cadangan dari salah seorang jurulatih JS8, kami merancang untuk menziarahi salah seorang sahabat JS8 di Pantai Dalam iaitu Sdr. Sidek yang terlibat dengan kemalangan beberapa minggu sebelum itu. Sementara menunggu beberapa orang sahabat yang ingin turut serta, kami berbincang untuk melawat Pak Mat Kedidi pada minggu tersebut memandangkan Cikgu Wandy akan melangsungkan perkahwinan pada minggu berikutnya.

Cikgu Yazid terus menghubungi Abang Yahya di Endau untuk memaklumkan kehadiran kami nanti. Kebetulan pula Abang Yahya memberitahu bahawa Pak Mat baru sahaja bertanyakan tentang bila kami akan ke sana. Jadi persetujuan telah dibuat untuk ke Endau selepas latihan pada hari Jumaat malam Sabtu, 07 Mei 2010.

Petang Jumaat, 07 Mei 2010, Cikgu Yazid menghubungi Pak Mat sendiri untuk memaklumkan tentang kehadiran kami dan pasa masa itu Pak Mat memberitahu bahawa dia sedang sakit. Agak tersekat bunyi suara beliau. Pada malamnya selepas latihan selesai, kami, iaitu Cikgu Yazid, Cikgu Bard, Cikgu Ali, Cikgu Azmi dan Ustaz Juraimi berkumpul di rumah Cikgu Yazid. Sambil menunggu Cikgu Yazid bersiap, kami sempat minum kopi sambil bersembang.

Sabtu, 08 Mei 2010, lebih kurang jam 1.15 pagi, kami keluar dari rumah Cikgu Yazid untuk ke kereta, kami pergi dengan dua buah kereta sebab risau kalau kami berlima naik satu kereta, ada yang akan sesak nafas bila sampai Endau nanti. Cikgu Yazid meminta Ustaz membacakan doa agar perjalanan kami dilindungi dan diberkati. Beberapa detik sebelum kami masuk ke kereta masing-masing, sekitar jam 1.30 pagi, Cikgu Yazid menerima panggilan telefon dari Abang Yahya, melihat reaksi Cikgu Yazid sewaktu bercakap dengan Abang Yahya, perasaan kami dah tak keruan dan merasakan sesuatu yang tidak kena. Selesai perbualan telefonnya, Cikgu Yazid memberitahu kami Pak Mat telah meninggal dunia jam 1.05 pagi tadi. Kami semua terdiam seketika, hanya Allah yang tahu perasaan kami waktu itu, kegembiraan untuk bertemu dengan Pak Mat pagi esoknya bertukar menjadi sedih dan sayu.

Azam telah ditanam untuk ke Endau, jadi kami teruskan perjalanan itu, walaupun bukan untuk menuntut dengan Pak Mat, tetapi adalah untuk memberi penghormatan dan menatap wajah guru kami buat kali terakhir. Sepanjang perjalanan, kami mengambil kesempatan menghantar mesej kepada sahabat-sahabat seperguruan dan kenalan yang mengenali Pak Mat, termasuk juga kepada Sdr. Azlan Ghani dari majalah Seni Beladiri, Sdr. Nadzrin Wahab dari SilatMelayu.com dan Sdr. Jak Othman. Sekitar jam 3.30 pagi kami sampai di simpang empat Jempol, singgah sekejap di gerai medan selera di situ untuk minum sambil meluruskan urat-urat dan menyegarkan kembali mata yang dah hampir layu, maklumlah siang tadi kami semua bekerja, malam pula ada latihan. Ada yang cuma minum, ada pula yang pekena burger senyum, tentu ramai yang pelik, memang burger tu dinamakan burger senyum, kalau nak tahu kenalah tanya Cikgu Yazid sebab dia yang makan burger tu.

Kami singgah solat Subuh di stesen minyak Petronas di Muadzam Shah dan teruskan perjalanan ke Endau. Suasana pagi di sepanjang jalan Muadzam Shah–Endau amat indah dengan kabus yang masih meliputi bumi. Sempat juga kami menikmatinya keindahan itu sebelum kabus hilang disinari cahaya matahari. Jam 8.00 pagi kami sampai di Endau terus singgah di gerai makan untuk bersarapan. Kami bungkus seberapa banyak makanan, roti canai dan kuih-muih yang ada di gerai tersebut untuk dibawa ke rumah Pak Mat. Sesudah bersarapan, kami bergerak ke rumah Pak Mat.

Orang sudah agak ramai di rumah Pak Mat. Kami bersalaman dengan orang-orang sedang menunggu diluar termasuk telah berada di situ adalah Abang Yahya, Abang Azhar, Abang K dan Abang Ajis. Kami masuk ke rumah dan dengan dikepalai oleh Ustaz, kami adakan tahlil ringkas berhampiran jenazah Pak Mat. Selepas beberapa ketika, jenazah dimandikan, dikapan dan kemudiannya disembahyangkan. Setelah semua selesai jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Semanyir dengan van yang telah sedia menanti. Ramai yang mengekorinya dengan kereta, motosikal, basikal dan ada yang berjalan kaki. Turut mengiringi adalah orang-orang lama buah pukul sepert Pak Mat Samurai dan Pak Andak Wahab dan saya pasti ramai lagi anak murid Pak Mat Kedidi yang tidak kami kenali yang turut serta.

Alhamdulillah semua urusan pengebumian berjalan dengan lancar dan selesai sekitar jam 12.00 tengahari. Selepas segalanya selesai, kami bersama guru-guru JS8 bergerak ke gerai makan berhampiran jeti ke Pulau Tioman. Ramai antara kami yang berhasrat nak makan ketam masak lemak seperti yang pernah dijamah sewaktu kunjungan terdahulu, tapi dah tak ada rezeki, ketam dah habis, jadi kami makan sajalah apa yang ada. Selesai mengisi perut, kami ke rumah Abang Yahya untuk meneruskan agenda. Sebelah malamnya kami sekali lagi ke rumah Pak Mat menghadiri majlis tahlil dan sempat bergambar dengan ahli keluarga Pak Mat. Seterusnya kami ke gerai makan berhampiran Sungai Endau untuk minum. Nyaman sungguh bayu Sungai Endau yang bertiup pada waktu itu, menghilangkan bahang panas waktu siang.

Pagi esoknya, Ahad, 09 Mei 2010, selepas bersarapan nasi lemak yang sungguh enak di rumah Abang Yahya, kami mengambil beberapa petua dan mendalami sistem pelajaran Senjata Lapan dengan guru-guru JS8 iaitu Abang Yahya sendiri, Abang Azhar, Abang K dan Abang Ajis. Lebih kurang jam 11.00 pagi kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Kunjungan ke Endau kali ini adalah kunjungan yang tak akan kami lupakan sampai bila-bila, yang akan kami simpan kemas dalam ingatan. Kunjungan di mana kami melihat Pak Mat Kedidi buat kali terakhir. Kunjungan di mana kami bertemu guru-guru buah pukul seperti Pak Mat Samurai dan Pak Andak Wahab. Kunjungan di mana kami bertemu dan menjalinkan silaturrahim dengan anak-anak murid Pak Mat dari merata tempat. Kami, bersama anak-anak murid Pak Mat Kedidi yang lain, walau di manapun mereka berada, adalah penerus kepada legasi ini. Semoga segala kemahiran dan ilmu yang dicurahkan menjadi amal jariah buat almarhum Mohamed b. Chik @ Pak Mat Kedidi dan menjadi ilmu yang bermanfaat buat kita pewarisnya. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh. Amin.

 
 

.